Categories
NASIONAL

PM, Menteri Kewangan perlu individu berbeza jika PAKATAN menang

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) disaran mengelakkan pemusatan kuasa kepada seorang individu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata pemusatan kuasa yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyebabkan berlakunya salah guna kuasa.

“Seorang Perdana Menteri yang memegang jawatan yang banyak tidak selari dengan tuntutan urus tadbir yang baik apabila urus tadbir yang baik menuntut ada pengasingan kuasa, bukannya pemusatan kuasa kepada seorang individu.

“Maka wajarlah kalau jawatan yang dipegang Perdana Menteri dipusatkan hanya ke atas portfolio Perdana Menteri sahaja dan portfolio Menteri Kewangan dan badan berkepentingan kerajaan lain itu diserahkan kepada Menteri dan pegawai lain,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, antara kriteria yang perlu ada sebelum melantik Menteri Kewangan, mestilah memiliki kepakaran dalam bidang ekonomi, kewangan khususnya kewangan awam dan memiliki pengalaman dalam sektor korporat merupakan satu kelebihan.

Katanya, manakala untuk melantik seseorang ke jawatan penting dalam badan perniagaan di bawah Menteri Kewangan seperti 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan lain-lain entiti juga mestilah individu berbeza dan bukannya Menteri Kewangan.

Katanya lagi, melantik individu sama meningkatkan risiko salah guna kuasa seperti yang berlaku dalam skandal 1MDB.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan.

Beliau kemudiannya menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

=EZY=