OLEH AFIX REDZUAN
KUALA LUMPUR, 4 APR: Program Sentuhan Rakyat anjuran Barisan Nasional (BN) yang menjual lebih 30 barangan asas pada harga murah bukti pengakuan Kerajaan Umno-Barisan Nasional bahawa rakyat terbeban dengan kos sara hidup tinggi dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menafikan kesan pelaksanaan GST terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat adalah satu bukti mudah Kerajaan BN tidak mempedulikan ekonomi rakyat.
“Kemungkinan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) tidak menyedari bahawa Indeks Harga Pengguna telah meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan tahun pada bulan Februari 2017, sebanyak 4.5 peratus?
“Justeru, bagaimana Kerajaan boleh terus menafikan impak GST antara kesan kitaran ringgit domestik terjejas?
“Isu kenaikan kos sara hidup ini bukan hanya diangkat Pembangkang tetapi juga disuarakan perwakilan di Perhimpunan Agung Umno saban tahun,” katanya dalam kenyataan di Parlimen.
Menurutnya, janji BN dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 2014 bahawa harga barang akan dikawalselia dengan baik dan pengambilan untung keterlaluan tidak akan berlaku selepas pelaksanaan GST disifatkan sebagai ‘fake news’ semata-mata.
Katanya, sebagai pemimpin utama negara, Ahmad Zahid sepatutnya sedar impak pelaksanaan cukai regresif GST menyebabkan manipulasi harga barang sejak diperkenalkan tiga tahun lalu.
“Menjelang pelancaran manifesto BN pada 7 April ini, sata jangka BN akan mengumumkan kadar pengurangan cukai atau penambahan senarai barangan sifar GST.
“Ini semua tindakan ikhtiar akhir setelah BN khuatir kerana tekad Pakatan Harapan adalah menghapuskan GST. Ini bukti jelas rakyat benar-benar terkesab dengan penetapan cukai regresif,” katanya.
=EZY=