Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRU14: PAKATAN umum guna logo KEADILAN

OLEH AFIX REDZUAN

PASIR GUDANG, 6 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) secara rasmi mengumumkan penggunaan satu logo dan simbol, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengumuman itu dibuat Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada siri kemuncak Jelajah Pakatan Harapan yang berlangsung, di Taman Bukit Dahlia, di sini.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjangkakan sebarang bentuk halangan yang akan dihadapi sejak tiga bulan lalu, namun sudah bersedia dengan pelan gantian.

“Tak boleh guna simbol Pakatan Harapan, tidak boleh menghalang kita guna satu simbol untuk empat parti.

“Bukan mudah nak suruh ahli dalam Pakatan Harapan menggugurkan simbol mereka. DAP sudah menggunakan simbol roket sejak berpuluh tahun lamanya.

“Kita bersetuju keempat parti hanya menggunakan satu simbol. Dengan segala sukacita, bahawa dalam PRU-14 keempat parti kami akan guna satu simbol iaitu Parti Keadilan Rakyat,” katanya yang disambut dengan laungan ‘Pakatan Harapan’.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong dan mengajak untuk memilih logo KEADILAN dalam PRU-14.

Dalam sidang media di Pusat Media Parlimen pada 5 April lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan keputusan untuk tidak menggunakan logo roket dalam pertempuran pilihan raya bukanlah keputusan mudah bagi DAP, tetapi inilah pengorbanan.

Ini adalah kali pertama DAP akan bertanding tanpa menggunakan lambang roket.

Selain itu, Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) turut mengumumkan pembubaran sementara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dalam majlis sama turut dilancarkan ‘Tawaran Pakatan Harapan Negeri Johor’ dengan tema ‘Harapan Baru Bangsa Johor’ jika Pakatan Harapan berjaya menawan negeri itu, pada PRU14.