Categories
SELANGOR

PRU14: Selangor catat jumlah pengundi tertinggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 APR: Selangor merekodkan jumlah pemilih berdaftar paling tinggi, iaitu 2,415,074 orang layak mengundi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diwartakan, 2,388,614 pengundi adalah pemilih biasa, pengundi awal tentera, polis dan pasangan (25,462) serta pengundi tidak hadir luar negara (998).

Selangor turut mencatatkan 573,817 atau 23.76 peratus pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, berbanding negeri lain.

Diikuti, 523,640 (21.68 peratus) berusia 40 hingga 49, 460,489 (19.07 peratus) bagi usia 50 hingga 59 tahun dan 419,862 (17.39 peratus) berusia 21 hingga 29 tahun.

Negeri kedua yang mempunyai jumlah pemilih berdaftar paling tinggi ialah Johor dengan 1,817,999 orang, Perak (1,510,864), Sarawak (1,220,960) dan Kedah (1,146,492).

Negeri dengan jumlah pengundi paling rendah ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 27,306, manakala Wilayah Persekutuan Labuan (28,356) dan Perlis (150,221).

Daftar pemilih suku keempat tahun 2017 yang menyenaraikan 14,940,624 pengundi akan digunakan, pada PRU14 membabitkan 7,557,187 pengundi wanita (50.58 peratus) dan 7,383,437 pengundi lelaki (49.42 peratus).

Terdahulu, teka-teki berhubung tarikh PRU14 terjawab apabila SPR mengumumkan ia akan diadakan, pada 9 Mei ini.

Pengundian awal ditetapkan, pada 5 Mei ini sementara hari penamaan calon, pada 28 April ini.

Seramai 14,940,624 juta rakyat Malaysia layak mengundi kali ini membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri.