Categories
SELANGOR

Rehatkan Umno, henti kebocoran

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) bertekad menghentikan kebocoran dan ketirisan serta menggantikannya dengan ketelusan jika berjaya mengambil alih pentadbiran negara, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata, PAKATAN akan menggunakan konsep mengembalikan hasil negara kepada rakyat, seperti dilaksanakan di Selangor iaitu Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Kami (PAKATAN) ada pengalaman ketika mengambil alih Selangor, rizab negeri hanya RM1.2 billion. Kini, rizab mencecah RM3.8 billion dan hutang negeri hampir habis kita bayar.

“Kami berjanji untuk hentikan kebocoran dan pastikan ketelusan. Tangguh dulu bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hingga gaji mencapai RM4,000.

“Kami juga akan hapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang membebankan rakyat. Jom kita rehatkan dulu Umno untuk mereka membuat koreksi diri,” katanya menerusi status di Facebook.

Beliau berkata, defisit negara juga kian parah hingga mencecah RM 40 billion dan jika berterusan sehingga 20 tahun, boleh mencapai RM800 billion hingga RM1 trillion.

Malah, katanya, menurut Laporan Ketua Audit Negara, kebocoran kewangan negara mencatatkan sekitar RM27 bilion setahun, iaitu kira kira 10 peratus daripada bajet negara.

“Siapa kena bayar hutang ini? Pastilah rakyat dari bayi sampai meninggal dunia, dalam bentuk pelbagai cukai, terutama GST.

“Sementara anak muda terbeban dengan hutang belajar PTPTN. Pekerjaan belum tentu, hutang sudah menanti. Ramai pinjaman perumahan sangkut kerana disenarai hitam PTPTN.

“Kini, kuasa di tangan anda. Adakah mahu diteruskan beban hutang atau hentikan setakat ini,” katanya.