Categories
GLOBAL

Russia pertimbang bekal peluru berpandu S-300 ke Syria

MOSCOW 14 APR: Russia sedia membekalkan sistem peluru berpandu S-300 kepada Syria dan negara lain, kata jurucakap tentera, Kolonel Jeneral Sergei Rudskoi, hari ini selepas serangan dilancarkan ke negara itu oleh Amerika Syarikat, Perancis dan Britain.

Rudskoi berkata, tindakan AS di Syria bertujuan mencetuskan ketidakstabilan di rantau itu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Keadaan di Damsyik dan bandar serta bandar raya lain di Syria kini tenang, katanya.

Sementara itu, Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berkata serangan ke atas Syria yang dilancarkan Amerika Syarikat, Perancis dan Britain hari ini adalah satu jenayah dan tidak akan mencapai sebarang kejayaan.

“Serangan awal pagi hari ini ke atas Syria adalah jenayah. Saya mengisytiharkan Presiden AS, Presiden Perancis dan Perdana Menteri Britain sebagai penjenayah.

“Mereka tidak akan mendapat manfaat daripada serangan sama seperti dilakukan terhadap Iraq, Syria dan Afghanistan pada masa lalu dan melakukan jenayah dan tidak mendapat manfaat daripadanya,” kata Khamenei dalam ucapan, menurut akaun Twitter beliau.

Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya melancarkan lebih 100 peluru berpandu cruise dengan sebahagiannya dipintas sistem pertahanan udara Syria.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Russia, peluru berpandu udara ke bumi itu dibedil AS, Britain dan Perancis dari laut dan udara mensasarkan kemudahan tentera Syria dan awam.

Peluru berpandu terbabit dilancarkan dari kapal perang AS di Laut Merah serta pesawat di ruang udara Mediterranean dan pesawat pengebom strategik AS dari pangkalan udara Al-Tanf di sempadan Syria-Iraq.

=EZY=