Categories
SELANGOR

SACC persembah lebih 100 gabungan juadah berbuka

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 APR: Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) sekali lagi menawarkan gabungan lebih 100 juadah berbuka puasa bertemakan Warisan Tradisi sempena Ramadan tahun ini.

Sous Chef, Rizal Nahar berkata, tema itu dipilih kerana ia bersesuaian dengan konsep yang hendak diketengahkan iaitu masakan kompilasi resepi nenek moyang.

“Memang banyak juadah tradisional diketengahkan SACC pada setiap tahun, namun kali ini hidangan disediakan memberi kelainan yang pasti akan membuat pengunjung teruja.

“Antara keunikan hidangan kali ini adalah kita bawakan lauk pajeri kedongdong, masak lemak pisang muda, sotong masak hitam, ayam masak seroja dan sambal udang terung pipit yang sukar ditemui di tempat lain,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, Nasrudin berkata, hidangan sedia ada masih dikekalkan antaranya seperti kambing kebuli yang sering menjadi rebutan pelanggan serta roti bersama sup periuk utara, ayam bakar bumbu Bali, ayam kalio Minang, lontong Selangor, kari kepala ikan Nyonya dan 15 gerai lain turut menghidangkan pelbagai jenis kuih muih, buah-buahan serta aneka pencuci mulut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SACC, Nasrudin Abu Bakar berkata, mereka berminat boleh menikmati juadah berbuka puasa di SACC dengan bayaran hanya RM88 untuk dewasa dan RM52 (kanak-kanak berumur 7 hingga 10 tahun).

“Namun, kepada mereka yang merancang untuk mendapat promosi pembelian awal dengan harga serendah RM78 boleh membuat pembelian sebelum 17 Mei ini.

“Sementara itu, bagi pelanggan korporat disediakan Pakej Korporat bermula pada harga RM75 dengan jumlah minima seramai 30 orang,” katanya.

Buffet Ramadhan itu dibuka seawal jam 6.30 petang hingga 10 malam setiap hari bermula 18 Mei hingga 13 Jun ini.

Orang ramai boleh membuat tempahan dengan menghubungi talian 03-5511 8858 atau ikuti perkembangan semasa SACC di laman Facebook SACCOfficialnew dan Instagram shahalamconventioncentre untuk maklumat lanjut.