OLEH SYAZWANI SUFIAN
DAMANSARA, 9 APR: Hampir RM60 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri untuk pembangunan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), di Selangor sejak mengambil alih pentadbiran negeri, pada 2008.
Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri turut mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi sekolah menengah persendirian Cina sejak 2016 dan mendapat respon positif.
“Berbanding dengan Umno-Barisan Nasional (Umno-BN), mereka hanya mengumumkan akan mengambil kira UEC dalam manifestonya, itu pun disebut akan dipertimbangkan.
“Ini membuktikan Najib tidak komited dalam menyatakan hak kepada kaum dan bangsa lain,” katanya ketika Majlis Makan Malam anjuran Keadilan Cabang Subang, di One World Hotel, di sini.
Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri menyedari peranan besar dimainkan SJKC dalam membangunkan modal insan.
“Sudah 60 tahun kita merdeka tetapi Umno-BN masih bercakap berkenaan perkauman dan bila bercakap berhubung pembelaan Melayu, maksudnya hanya untuk Rosmah dan keluarga.
“Tetapi di Selangor kita pastikan semua kaum, bangsa dan agama mendapat hak sama serta dibuktikan melalui pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan,” katanya.