Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor penyumbang terbesar KDNK, cemerlang di bawah PAKATAN

OLEH HAFIZAN TAIB

KODIANG, 21 APR: Kerajaan Selangor dipimpin Pakatan Harapan (PAKATAN) mencapai kemajuan membanggakan dan menjadi tumpuan ramai untuk berhijrah ke negeri itu.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berbeza dengan pentadbiran Umno-Barisan Nasional (BN) yang dibelenggu ketirisan, PAKATAN menunjuk contoh terbaik dan mengekalkan Selangor sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia sebanyak 23 peratus.

“Ia peringatan kepada orang di Pekan (Perdana Menteri) sekiranya kita tarik sumbangan kepada Putrajaya tambah merudum ekonomi negara.

“Sekarang rizab kita besar, kita buat banyak program antaranya Hijrah Selangor, Skim Peduli Sihat, pemberian air percuma dan lebih banyak kita beri, lebih lagi rezeki kita dapat,” katanya dalam program sarapan pagi dan pelancaran Pusat Operasi Pilihan Raya PAKATAN DUN Kota Siputeh di sini, hari ini.

Ia adalah salah satu program dijayakan dalam siri Jelajah KEADILAN Harapan Malaysia di Kedah bagi menyantuni rakyat sempena pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

Dato’ Menteri Besar Selangor itu berkata, Kerajaan Negeri membelanjakan peruntukan RM180 juta setahun bagi membiayai kira-kira enam juta rakyat Selangor untuk program air percuma.

Katanya, dengan pelbagai program melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan pencapaian kewangan baik menyebabkan Selangor menjadi tumpuan ramai untuk berhijrah ekoran tawaran pekerjaan yang banyak.

“Dalam PRU14 persaingan hanya antara Umno-BN dan PAKATAN maka rakyat perlu membuat keputusan bijak serta mencipta sejarah demi masa depan anak cucu kita.

“Maka beri undi kepada PAKATAN kerana kita hanya mampu menawarkan program kalau berjaya membentuk kerajaan,” kata Naib Presiden PAKATAN itu.

=EZY=