Categories
SELANGOR

Shuhaimi santuni penduduk Johan Setia, Jalan Kebun

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APR: Calon KEADILAN Sungai Kandis (N49) memulakan program pertama walkabout dan menyantuni penduduk di Johan Setia, pagi ini.

Shuhaimi Shafiei sempat bersarapan di Warung Asnil bersama penduduk kawasan sekitar sebelum ke program seterusnya.

Beliau turut memberikan penerangan kepada penduduk terbabit berkenaan usaha-usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan itu.

“Ada beberapa projek pembangunan yang perlu diambil perhatian dan ditambah baik antaranya menaiktaraf jalan Klang-Banting.

“Ada beberapa punca utama banjir di sini, saya kira ia jika sukar dilaksanakan, dan perlu dibuat kolam tadahan bagi membolehkan air dipam keluar ke sungai.

“Usaha ini sedang dilaksanakan, sebahagian longkang konkrit juga dibuat, saya berharap kita dapat menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh ini,” katanya.

Shuhaimi berkata longkang tanah di jalan membabitkan simpang masuk dari Banting ke Johan Setia perlu dinaiktaraf daripada longkang tanah ke konkrit.

Katanya, ia bagi mengelakkan jalan mendap sepanjang empat kilometer.

“Begitu juga dengan pemasangan lampu-lampu jalan kampung sedang dilaksanakan, selain pembaikian beberapa prasarana lain,” katanya.

Pada masa sama, katanya, penduduk kawasan itu juga bakal menikmati kemudahan bas percuma, Bas Smart Selangor bagi membolehkan penduduk dapat bergerak dari destinasi ke destinasi lain.

Shuhaimi turut berkesempatan merasmikan sukaneka Tadika Tunas Budi di Jalan Kebun.