Categories
NASIONAL

SPR perlu jelaskan proses pengurusan undi pos PRU14

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 24 APR: Pakatan Harapan (PAKATAN) menuntut satu pertemuan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendapatkan penjelasan berhubung pengurusan undi pos, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, isu itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, pagi tadi.

“Malangnya, kita masih tidak dapat bertemu SPR supaya dapat tentukan bagaimana undi pos diadakan. Ada yang akan undi pos di luar negara dan dalam negara, maka sudah tentu caranya berlainan.

“Kami ingin tahu kerana nama pengundi pos ini tidak akan diberitahu kepada kita, sehingga saat terakhir,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas Majlis Taklimat Calon-Calon Pakatan Harapan PRU-14 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, beliau berkata, pihaknya mahu SPR memberikan taklimat berhubung proses itu selain menjawab beberapa persoalan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, ketika undi pos.

SPR sebelum ini memaklumkan, rakyat Malaysia yang menetap di luar negara dan berdaftar sebagai pemilih perlu segera menghantar semula kertas undi ke pegawai pengurus pusat mengundi masing-masing bagi memastikan ia diterima sebelum jam 5.00 petang, pada 9 Mei ini.

Proses penamaan calon PRU14 ditetapkan 28 April ini, manakala pengundian awal adalah 5 Mei dan pengundian pada 9 Mei.