OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 6 APR: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) melakar sejarah apabila dilantik oleh Amazon Web Services (AWS) Amerika Syarikat menjadi Organisasi Pembangunan Ekonomi (EDO) AWS pertama di rantau Asia.
Pengarah SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, kerjasama strategik ini mampu merealisasikan visi Smart Selangor menjadikan Selangor sebagai Smart State terunggul di ASEAN menjelang 2025.
Katanya, menerusi kerjasama itu, SSDU akan memperluaskan penggunaan teknologi ‘Cloud Computing’ AWS di Selangor.
“Kita sangat teruja dan berterima kasih kepada AWS di atas keyakinan diberikan kepada kebolehan SSDU dan juga kepada potensi pemasaran untuk teknologi ini.
“Lantikan sebagai EDO oleh AWS yang berpengkalan di Amerika Syarikat ini membolehkan SSDU menyegerakan pembangunan beberapa insiatif utama di bawah program Smart Selangor” katanya ketika ditemui.
Dr Fahmi berkata, lantikan pertama di rantau Asia membolehkan kerjasama di antara SSDU dan AWS memperkenalkan program AWS Cloudstart, AWS Educate dan AWS Academy di Selangor.
Program AWS Cloudstart boleh mengupayakan sektor SME untuk menggunapakai beberapa infrastruktur teknologi maklumat berasaskan ‘Cloud Computing Technology’ yang diiktiraf dunia untuk tujuan pembangunan dan pemasaran produk pada kos berpatutan.
“Ini akan membolehkan sektor SME lebih fokus kepada pembangunan produk mereka dan tidak memakan masa dan kos yang lama menyiapkan keperluan asas infrastruktur teknologi maklumat yang hanya bertujuan menyokong pembangunan produk mereka.
“Lebih banyak bakat dan produk inovasi baru juga dapat dihasilkan untuk pasaran dunia menerusi program AWS Academy dan AWS Cloudstart daripada Selangor apabila ia diperkenalkan nanti,” katanya.
Beliau berkata, AWS juga akan melaburkan kepakaran mereka membantu SSDU membina ekosistem yang sesuai untuk menyokong pembangunan Industri 4.0 dan Internet of Things.