Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor ucap tahniah atlet harumkan nama di Sukan Komanwel

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 APR: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan tahniah kepada dua atlet Selangor yang mengharumkan nama negara, pada temasya Sukan Komanwel ke-21, di Gold Coast, Australia.

Atlet terbabit ialah Amy Kwan Dict Weng dan Emma Firyana Saroji yang menyumbangkan lima pingat buat negara keseluruhannya.

Menerusi perutusan Khas DYMM Sultan Selangor yang dibacakan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, baginda amat berbangga dengan pencapaian kedua atlet terbabit yang mengharumkan nama negara dan Selangor.

“Syabas dan tahniah diucapkan. Baginda berharap atlet lain dari Selangor dapat terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang,” titah baginda.

Amy Kwan yang beraksi dalam sukan Gimrama berjaya menyumbangkan satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa menerusi acara Individual Apparatus (Ribbon), acara Berpasukan, Individual Apparatus (Hoop) serta Individual All Around.

Sementara Emma Firyana memenangi satu emas dari sukan Boling Padang menerusi acara Berpasangan Wanita bersama Siti Zalina Ahmad.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan insentif kemenangan bernilai RM24,000 kepada Amy Kwan dan RM6,000 buat Emma Firyani, pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2017 yang berlangsung di Hotel Concorde, Shah Alam, malam tadi.

Pada temasya Sukan Komanwel lalu, seramai 28 atlet Selangor mengambil bahagian dalam 13 acara dipertandingkan.