Categories
NASIONAL

Turun GST bukan naikkan BR1M – KPRU

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 APR: Lebih baik menurunkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berbanding menaikkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), saran Pengarah Eksekutif Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), Ooi Heng.

Katanya, ia menunjukkan Barisan Nasional (BN) tidak beminat membantu meringankan beban rakyat.

“Hal ini kerana kerajaan BN tidak memberi jaminan kadar GST akan kekal, pada 6 peratus dalam manifesto mereka. Jika GST naik, bukan sahaja BR1M tidak dapat membantu meringankan beban tetapi membebankan lagi kehidupan rakyat.

“Umum sudah sedia maklum GST juga antara penyebab utama kepada peningkatan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan.

Heng dalam kenyataannya juga memberitahu, hasil kutipan GST pada 2017 adalah RM44 bilion, manakala peruntukan permohonan BR1M diluluskan bagi 2018 adalah RM6.12 bilion.

“Daripada itu, KPRU mendapati peruntukan pemberian BR1M sahaja adalah 13.9 peratus hasil kutipan GST, maka tiada masalah ia dikembalikan dengan pemberian BR1M.

“Akan tetapi kita sendiri tahu, pemberian BR1M hanya membabitkan golongan tertentu sahaja. Mengapa kerajaan BN tidak mengurangkan kadar GST yang lebih memanfaatkan semua?” katanya.

Kata Heng lagi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan harga minyak antarabangsa meningkat, iaitu AS$69 setong berbanding andaian AS$59 setong semasa pembentangan bajet sebelum ini.

“Maksudnya, Kerajaan Persekutuan mendapat lebihan sumber pendapatan ekoran peningkatan harga minyak mentah.

“Memandangkan sumber pendapatan daripada petroleum meningkat, GST yang menyumbang kepada sumber pendapatan negara seharusnya dikurangkan bagi meringankan beban rakyat.

“Oleh itu KPRU berpendapat, agak pelik bila kerajaan BN cuba membantu rakyat menangani kos sara hidup dengan menambahkan kadar BR1M tetapi bukannya mengurangkan kadar GST yang memberi impak besar kepada kehidupan rakyat sejak pelaksanaannya,” katanya.