OLEH ERMIZI MUHAMAD
AMPANG, 15 APR: Fitnah jahat terhadap pentadbiran Selangor akan terus mendapat liputan meluas media kawalan pihak tertentu ketika musim pilihan raya ini, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Justeru kata Naib Presiden Pakatan Harapan itu, rakyat disaran untuk tidak terpengaruh dengan sebarang adu domba dan politik tidak benar yang sering dilaporkan media tidak bertanggungjawab itu.
“Pernah anda lihat laporan benar terhadap Selangor di televisyen dan media kawalan mereka pada setiap jam 8 malam?
“Tak ada. Nak bagi saya 5 minit di televisyen mereka? Riuh tabur fitnah dan sebab itu saya gunakan kesempatan dengan mendekati rakyat dan menyampaikan fakta sebenar terhadap Selangor.
“Tidak mustahil minggu ini akan lebih banyak laporan tidak benar dipaparkan. Serabut kepala kita.
“Tapi tak mengapalah, tutup saja berita 8 malam itu,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan di Ampang Tambahan, semalam.
Mohamed Azmin tidak menamakan mana-mana pihak atau agensi berita yang didakwa melaporkan berita tidak sahih terhadap pentadbiran negeri.
Namun kenyataan itu dipercayai merujuk kepada media kawalan Umno, TV3 yang sering melaporkan berita berat sebelah terhadap pentadbiran Pakatan di Selangor dan Pulau Pinang.
“Dulu saya belajar, di Malaysia ini ada 14 negeri. Tetapi sekarang setiap malam seperti di Malaysia ini cuma ada dua negeri sahaja iaitu, Selangor dan Pulau Pinang,” sindir Mohamed Azmin.
Sementara itu, rakyat masih boleh mendapatkan akses berita sahih terhadap pentadbiran negeri dan isu-isu di Selangor dengan tepat menerusi akses berita Media Selangor, menerusi SelangorKini dan TV Selangor.
Bagi Pulau Pinang, orang awam boleh merujuk portal berita, Mutiara.
=EZY=