OLEH NADIAH ZAMLUS
PETALING JAYA, 18 APR: Selamatkan undi anda sebelum terpedaya dengan pelbagai mesej palsu yang kini tersebar luas di media sosial.
Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Shahrul Aman Mohd Saari berkata, mesej palsu berhubung cara mengundi yang salah itu berjaya dikesan pihaknya sejak beberapa hari lalu.
“Mesej itu secara sengaja ataupun tidak telahpun tersebar luas melalui aplikasi whatsapp, facebook dan twitter.
“Hal ini mengambarkan betapa kurangnya informasi diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sekaligus terdapat unsur berniat jahat bertujuan untuk merosakkan undi,” katanya dalam sidang media di Pejabat BERSIH.
Shahrul berkata, antara mesej palsu disebarkan ialah teknik menanda kertas undi.
“Melalui sesi penerangan pasca Pililihanraya Umum ke 14 (PRU14) oleh SPR, terdapat 39 cara menanda kertas undi yang betul, tidak kisahlah menanda dengan bentuk bulat, pangkah ataupun sedikit comot, yang penting tanda berkenaan perlu dibuat di dalam kotak sahaja.
“Undi akan menjadi rosak sekiranya tanda yang dibuat terkeluar daripada kotak calon dipilih, bagaimanapun penemuan di media sosial mendapati individu tidak bertanggungjawab menunjukkan undi ditanda sehingga terkeluar daripada kotak masih dikira baik, hakikatnya ia sudah rosak,” katanya.
Sementara itu Pengerusi BERSIH 2.0, Mandeep Singh berkata, pengundi perlu mengesahkan terlebih dahulu sebarang maklumat diterima mengenai PRU14.
“Pengundi boleh menghubungi SPR mahupun BERSIH di talian 0379314444, pengesahan ini perlu dilakukan sebelum anda menyebarkan mesej berkenaan kepada orang lain.
“BERSIH juga menggesa supaya SPR lebih agresif menyebarkan cara mengundi yang betul kepada orang awam sepanjang tempoh PRU14 ini.
“Kita lihat SPR masih lemah dari segi pemantauan dan juga penguatkuasaan berhubung isu mesej palsu ini, bertindaklah segera dan tolonglah selamatkanlah undi kami,” katanya.
=EZY=