Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Video manifesto PAKATAN dikongsi meluas di media sosial

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 APR: Video 10 janji 100 hari yang ditawarkan Pakatan Harapan (PAKATAN) mula dikongsi secara meluas kepada orang ramai melalui Facebook KEADILAN.

Video berdurasi dua minit itu memaparkan 10 janji jika PAKATAN berjaya menawan negara, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Antara yang menarik ialah penangguhan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada semua peminjam berpendapatan bawah RM4,000 dan memansuhkan peminjam yang disenarai hitam.

Selain itu, PAKATAN juga berjanji untuk menyamaratakan gaji minimum dan memulakan proses meningkatkan gaji berkenaan.

Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), FELDA, MARA dan Tabung Haji juga dipandang serius dengan cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk merombak semula struktur kepimpinan badan terbabit.

Selari dengan moto ‘Membina Negara Memenuh Harapan’, PAKATAN juga akan memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.

Sementara itu, bercakap kepada SelangorKini, manifesto berkenaan disambut baik Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Batu, Muhammad Rezza Ralib yang mengakui PTPTN sudah lama membebani golongan muda sama ada yang sudah lama bekerja mahupun baru.

“Itulah yang anak muda mahukan kerana saban tahun pelbagai hutang perlu ditanggung seperti PTPTN, dan sekarang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pula dikenakan.

“Kami sambut baik manifesto ini dan berharap ia dilaksanakan segera selepas kita berjaya menawan Putrajaya,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari www.facebook.com/keadilanrakyat/.