OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 6 APR: Pelaksanaan dasar Smart Selangor yang diperkenalkan Kerajaan Negeri perlu diteroka secara menyeluruh bagi memastikan agenda itu disalurkan secara efektif kepada masyarakat.
Selebriti tempatan, Yana Samsudin berkata, agenda itu mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat seluruh negeri, menjelang 2025.
Katanya, beliau optimis pelaksanaan dasar itu mampu dicapai jika rakyat mendapat pemahaman sebenar berhubung pelaksanaan dasar berkenaan.
“Secara peribadi, untuk mencapai misi Smart State pada 2025, ia visi yang sangat jauh, namun jika kita bersama meningkatkan taraf kemajuan diri untuk terbabit sama dalam pelaksanaan inisiatif ini, saya percaya dasar ia mampu direalisasikan.
“Seiring dasar Smart State yang diperkenalkan Kerajaan Selangor, sebagai rakyat kita perlu ambil tahu dan mengaplikasikannya,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau diminta mengulas inisiatif Kerajaan Selangor yang melaksanakan dasar Smart State untuk menjadikan negeri itu sebagai negeri pintar, pada 2025.
Terdahulu, dasar Smart Selangor memberi tumpuan kepada beberapa teras domain utama antaranya, Samrt Governance, Smart Waste Management, Smart Transport and Mobility dan Smart Digital Infrastructure.
Pembangunan Smart Selangor dilaksanakan bagi memacu pembangunan negeri mencapai status Smart State yang mula dilaksanakan sejak 2015.
Ia juga diwujudkan bagi merealisasikan objektif pembangunan ekonomi mampan, sistem penyampaian berkesan bagi menjamin kehidupan kualiti rakyat lebih baik.