Categories
NASIONAL

1MDB tidak mampu lunaskan hutang

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 23 MEI: Syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tidak mampu membayar hutang menjelang tempoh berakhir 30 Mei ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Perkara itu didedahkan selepas mesyuarat bersama Pengarah 1MDB, Norazman Ayob dan Kamal Mohd Ali; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Arul Kanda Kandasamy; bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir bersama bekas peguam syarikat, Ivan Chen.

“Pengarah 1MDB mengesahkan syarikat itu bankrap (insolvent) dan tidak mampu membayar hutangnya.

“Bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir juga menulis kepada kementeriannya, pada Mac untuk menyatakan 1MDB tidak akan dapat membayar faedahnya, pada April dan Mei 2018,” katanya.

Guan Eng dalam kenyataannya berkata, Kamal juga memaklumkan unit pelaburan bernilai AS$940 juta (RM3.743 bilion) yang dimiliki dengan Bank Singapura BSI dan dana pelaburan AS$ 1.56 bilion (RM6.21 bilion) yang dimiliki 1MDB Global Investments Limited sebagai ‘scam’.

“Pelaburan ini bernilai kira-kira RM9.8 bilion yang jika ditebus, lebih daripada cukup bagi memenuhi obligasi kewangan 1MDB untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.

Dalam pertemuan sama, Arul Kanda berkata, beliau ‘tidak tahu menahu’ berkenaan kedudukan kewangan syarikat, sebaliknya menyatakan sedang menghabiskan perkhidmatannya sehingga kontrak tamat, pada Jun ini.