Categories
NASIONAL

200 pelajar UiTM berkarya cantikkan SACC Walk

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Seramai 200 pelajar Fakulti Seni Halus dan Seni Reka UiTM Shah Alam menghasilkan karya seni ‘pop art’ pada 120 tong kuning di sepanjang ‘SACC Walk’.

Aktiviti itu dilakukan dalam Program Seni Tong Kuning anjuran PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Sr. Fakru Radzi Ab Ghani berkata, mereka mengambil masa 18 jam untuk menyiapkan hasil karya berkenaan pada tong yang menghiasi sepanjang 300 meter jalan berhampiran Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan Kompleks PKNS.

“Antara hasil seni yang dipamerkan termasuk logo PREC dan aset miliknya, logo PKNS FC, bangunan ikon di Shah Alam, Adiwira, corak abstrak dan banyak lagi yang membawa pengertian tersendiri dan relevan untuk dinikmati pengunjung.

“Mereka di bimbing 10 pensyarah yang turut bertungkus lumus dalam menjayakan aktiviti seni ini disamping memberi suntikan semangat kepada pelajar dalam memupuk semangat kerjasama di antara IPTA dan badan korporat.

“Usaha ini juga dilihat sebagai landasan kepada pelajar mempamerkan bakat dan kebolehan mereka dalam bidang kesenian yang diceburi,” katanya dalam kenyataan.

‘SACC Walk’ dinaiktaraf bagi memberi kemudahan kepada orang awam bukan sahaja untuk membeli belah di SACC Mall dan Kompleks PKNS Shah Alam.

Malah, ia juga sebagai pusat riadah dengan wujudnya fasiliti seperti taman permainan mini, ruang duduk dan tempat berjalan kaki.

Fakru berkata, ‘SACC Walk’ turut menyediakan ruang letak basikal, laluan berbasikal, laluan utama antara SACC Mall, SACC Convention Centre dan Kompleks PKNS Shah Alam, laluan kenderaan selebar tiga meter serta hiasan flora pada ‘green wall’.

“PREC melihat kawasan ini sebagai satu tempat yang boleh dijalan pelbagai program dan aktiviti menarik termasuk ‘flea market’, jualan but kereta, jualan lori makanan dan jualan kraftangan Selangor sebagai ruang perniagaan kepada usahawan di Selangor.

“Secara tidak langsung usaha ini dapat menjadi salah satu kawasan tarikan pengunjung dalam dan luar Selangor seterusnya meningkatkan ekonomi di negeri ini,” katanya.