Categories
SELANGOR

84 warga kerja PKNS terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 15 MEI: Seramai 84 warga kerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 yang diraikan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), hari ini.

Majlis anugerah berkenaan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof.

Noraida berkata, majlis itu merupakan penghargaan kepada keupayaan warga cemerlang PKNS yang sentiasa berusaha maju ke hadapan bukan sahaja sebagai peneraju perubahan tetapi penggerak utama ke arah kecemerlangan organisasi.

“PKNS sentiasa komited dalam mengiktiraf budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh anggota dengan menyediakan pelbagai anugerah serta ganjaran.

“Melalui APC ini, diharap ia dapat menggalakkan warga PKNS terus memberi komitmen dan daya usaha bagi mempertingkatkan produktiviti serta kerja berkualiti tinggi sekaligus menjadikan perkhidmatan PKNS terus kekal relevan, diyakini oleh pelanggan juga menepati kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis APC dan Jasamu Dikenang 2018, di sini, hari ini.

Sementara itu, majlis itu turut memberi penghargaan kepada Anugerah Pekhidmatan Lama dan Jasamu Dikenang sebagai penghargaan daripada PKNS terhadap khidmat bakti yang dicurahkan dengan penuh komited sepanjang tempoh perkhidmatan.

Noraida berkata, pengiktirafan itu seharusnya mewujudkan persaingan sihat warga PKNS untuk membuktikan keupayaan masing-masing bagi menghasilkan perkhidmatan terbaik.

“Tahniah saya ucapkan buat 50 penerima untuk Perkhidmatan Lama apabila sudah berkhidmat di PKNS selama lebih 20 tahun hingga 35 tahun dan 34 pesara yang banyak menabur jasa bakti tidak terbalas oleh Perbadanan ini.

“Penerima hari ini layak dijadikan contoh dan duta kepada perubahan serta agen transformasi perkhidmatan awam. Tidak mengira jawatan dan latar tugasan, anda haruslah berperanan dalam setiap amanah  diberikan demi memastikan hala tuju dan kecemerlangan Perbadanan ini,” katanya.

=EZY=