Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar gesa tugas selamatkan negara dijalankan segera

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 13 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa tugas menyelamat dan membina semula negara dijalankan secepat mungkin.

Katanya, barisan kepimpinan KEADILAN dan juga Pakatan Harapan (PAKATAN) yang telah diberi mandat oleh rakyat perlu melakukannya.

“Saya telah juga sampaikan pandangan kapada pimpinan KEADILAN untuk memastikan Kerajaan PAKATAN dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri mantap dan kukuh serta dapat menyempurnakan tanggungjawab dengan cemerlang,” katanya melalui kenyataan kepada SelangorKini.

Semalam, Tun Dr Mahathir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan barisan kepimpinan PAKATAN dilihat hadir ke Pusat Rehabilitasi Cheras bagi melawat Anwar.

Anwar berkata, beliau menghargai kunjungan Tun Dr Mahathir berkenaan sekaligus mengulangi sokongan padu KEADILAN kepada kepimpinan beliau.

“Saya juga telah sampaikan keresahan pimpinan yang memohon agar kaedah rundingan lebih merangkumi.

“Pandangan tersebut disambut baik oleh Tun namun harus diputuskan bersama oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan,” katanya.

=EZY