Categories
SUKANKINI

ARRC: Mohd Izzat azam kekal momentum

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 MEI: Pelumba RCB Yamaha YY Pang Racing, Mohd Izzat Zaidi, mempamer prestasi terbaik dengan mendahului kategori Underbone 150cc menjelang pusingan ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun, minggu ini.

Selepas empat perlumbaan dalam dua pusingan lalu, Mohd Izzat mengumpul 67 mata mendahului pelumba lain dengan 11 mata hasil dua kemenangan dan dua penamat di kedudukan ketujuh serta kelapan.

Mohd Izzat berkata, ia bukan situasi pertama mendahului kedudukan seperti itu kerana pada 2016, beliau juga mendahului selepas dua pusingan perlumbaan namun gagal mengekalkan momentum sehingga ke penghujung musim dan perlu lebih berhati-hati kali ini.

“Belajar daripada kesilapan, saya menukar strategi memberi keutamaan untuk mengutip seberapa banyak mata berbanding mengejar podium.

“Saya perlu kekal mengutip mata secara konsisten dalam setiap pusingan namun pada masa sama juga berharap dapat meraih podium di sini (Litar Suzuka) kerana tidak pernah menaikinya sejak 2014,” katanya.

Dua lagi pelumba negara, Mohd Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing) dan Mohd Affendi Rosli (Team One For All) berada di kedudukan kedua dan ketiga keseluruhan dengan masing-masing mengumpul 56 mata dan 44 mata.

Sepanjang empat tahun beraksi dalam kelas Underbone ARRC, pencapaian terbaik Mohd Izzat adalah di kedudukan ketiga keseluruhan pada musim 2016 dan keenam keseluruhan sewaktu kategori 150cc mula diperkenalkan pada musim 2017.