OLEH HAFIZAN TAIB
KUALA LUMPUR, 4 MEI: Anggota pasukan keselamatan dan keluarga yang akan mengundi awal, esok diminta memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) supaya mendapat pembelaan lebih baik.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PAKATAN serius bagi merealisasikannya dengan mengangkat martabat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke tahap lebih tinggi bersesuaian dengan pengorbanan dicurahkan selama ini.
“Kerajaan PAKATAN berjanji menjadikan ATM dan PDRM sebagai pasukan dihormati dan disegani.
“Komitmen ini termaktub sebagai janji ke-20 di dalam buku HARAPAN,” katanya dalam kenyataan media.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjalankan proses pengundian awal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), esok.
Pengundian awal terdiri daripada anggota tentera, isteri atau suaminya, anggota polis, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), isteri atau suami anggota PGA di seluruh negara.
Dr Wan Azizah berkata, pengundi awal perlu membuat pilihan bijak kerana pilhan dibuat bakal memberi kesan kepada masa depan negara dan rakyat.
Katanya, mandat seharusnya diberikan kepada mereka yang akan memenuhi harapan dan menjaga kebajikan semua anggota pasukan keselamatan.
“Pengorbanan saudara dan saudari untuk keselamatan negara haruslah dihormati dan disanjungi.
“Adalah amat tidak wajar anggota keselamatan negara diperalatkan untuk mempertahankan keangkuhan sang penguasa yang rakus.
“Demi masa depan kita semua pilihlah PAKATAN, pangkah lambang KEADILAN,” katanya berharap SPR mengendalikannya dengan lancar dan bebas dari sebarang penyelewengan.