OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 9 MEI: Sukarelawan yang dikenali sebagai Yap, dari Bukit Tinggi mendakwa banyak undi pos masih di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ini.
Katanya, menjadi sukar apabila pihak sukarelawan tidak mencukupi untuk menghantar undi pos itu ke Pengawai Pengurus kawasan masing-masing.
“Saya ke sana untuk membawa pulang anak saya yang baru tiba di KLIA, saya melihat banyak kotak-kotak yang berisi undi pos. Saya secara sukarela menawarkan diri untuk menghantar ke kawasan saya.
“Pihak sukarelawan membuka kaunter namun sukarelawan untuk menghantar ke tempat masing-masing masih tidak cukup,” katanya kepada SelangorKini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghantar undi pos bagi Parlimen Kota Raja.
Yap berkata, beliau khuatir undi-undi pos itu tidak dapat dihantar semula ke kawasan masing-masing ketika ini.
“Saya membawa empat undi pos. Sudah tiga tempat saya pergi tetapi ditolak, semua memaklumkan tempat dihantar salah,” katanya.