Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0 gesa Pengerusi SPR dan Timbalan digantung segera

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 23 MEI: BERSIH 2.0 menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan proses penggantungan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dan Timbalannya, Tan Sri Othman Mahmood sebagai permulaan perlaksanaan Pelan Tindakan Reformasi Pilihan Raya.

Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, pihaknya menyerahkan Pelan Tindakan Reformasi Pilihan Raya kepada Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) untuk perlaksanaan secara strategik proses reformasi seperti yang dicadangkan mengikut garis masa tertentu.

“Kita menyeru IRC dan Kerajaan Persekutuan untuk segera memberikan perhatian kepada reformasi dan pelaksanaan berdasarkan pelan tindakan ini dalam tempoh 100 hari dan dua tahun berikutnya.

“Sebagai permulaan, proses penggantungan dua pemimpin tertinggi SPR perlu dilakukan bagi menjalankan siasatan dan penyingkiran seperti yang termaktub dalam Artikel 114(7) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghantar kertas kerja cadangan yang turut memberikan cadangan terhadap reformasi Parlimen kepada sekateriat IRC, Zawiah Mohd Yusof di luar Menara Ilham.

Katanya, reformasi pilihan raya perlu dimulakan segera bertujuan untuk memastikan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil selaras dengan visi Malaysia baru dalam janji yang dinyatakan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Kertas kerja cadangan kita hantar ini sama seperti yang pernah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dan SPR pada 2017.

“Ketika kita serahkan dokumen ini dahulu mereka menyatakan cadangan ini sangat bagus tetapi tidak boleh dilaksanakan kerana terletak di tangan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kabinet ketika itu,” katanya.

Shahrul Aman berkata, pihaknya turut mencadangkan penubuhan satu tribunal untuk menyingkirkan tujuh pesuruhjaya SPR sedia ada bagi memberi laluan kepada pimpinan baharu yang lebih kompeten dan bebas.

“Tribunal itu boleh diambil oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, merujuk kepada Artikel 114(7) dan Artikel 125 Perlembagaan Persekutuan.

“Langkah drastik diperlukan segera bagi memastikan kebebasan dan integriti SPR dibina semula serta semua pesuruhjaya dipertanggungjawabkan atas kegagalan mereka mengangkat nilai ketelusan pilihan raya,” katanya.

=EZY=