Categories
NASIONAL

Biro Pendidikan PPBM tolak tuntutan Hindraf

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 MEI: Biro Pendidikan ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membantah sekerasnya tuntutan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF 2.0) untuk membenarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada semua kaum, di negara ini.

Exconya, Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, hal itu kerana UiTM masih relevan memperkasa pendidikan Melayu dalam kalangan Bumiputera.

Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tuntutan itu yang berkait dengan hak dan kepentingan orang Melayu kerana disifatkan tidak relevan.

“Ketika fasa peralihan kerajaan baru, banyak lagi agenda utama lebih menguntungkan rakyat sedang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), namun tuntutan HINDRAF ini mampu mengganggu keseimbangannya.

“HINDRAF sepatutnya melihat asas Rukun Negara yang menjadi nadi kepada Perlembagaan dan memahami konsep Melayu sebagai ‘Tiang Seri’ dalam membina rumah yang kukuh, iaitu Bahasa Melayu, agama Islam, keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Raja-Raja,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Ashraf menasihatkan kaum Melayu supaya berlapang dada menerima kritikan dan menambahbaik diri supaya tidak cepat melatah.

“Kita sudah merdeka terlalu lama, namun teras perpaduan masih lagi masalah yang menjadi duri dalam daging membina negara bangsa.

“Kita perlu berpijak di bumi yang nyata kerana tiap dari kita adalah warganya. Orang Melayu perlu juga semakin berani dan berdaya saing, isu kemiskinan serta ketinggalan bukan masalah orang Melayu semata,” katanya.