Categories
EKONOMI

Bursa Malaysia dijangka didagangkan tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR 26 MEI: Bursa Malaysia dijangkakan bergerak ke paras lebih tinggi -antara 1,800 dan 1,820 – minggu depan, setelah merosot ke paras 1,750 minggu ini berikutan jualan besar-besaran saham wajaran tinggi disebabkan reaksi pelabur terhadap pengumuman tahap hutang negara, kata peniaga.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd. Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, pengumuman kerajaan bahawa hutang negara melebihi RM1 trilion, telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur mengenai keupayaan kerajaan untuk mengurus ekonomi.

Bagaimanapun beliau berkata, kebimbangan itu mula reda selepas kerajaan mengumumkan siri rancangan untuk menjana pendapatan, termasuk mengkaji semua projek mega dan melaksanakan pengurangan kos.

“Seperti yang dapat kita lihat, reaksi berlebihan mereka (pelabur) kini kembali reda, dan menyaksikan indeks tempatan kembali pulih apabila meningkat 23 mata pada Jumaat.

“Kenyataan daripada pelabur China baru-baru ini yang menyatakan keyakinan mereka dan akan meneruskan perniagaan di bawah kerajaan baharu, juga telah memberikan sokongan kepada pasaran dan berkemungkinan akan berterusan ke minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Beliau bagaimanapun berkata, ketegangan ekonomi global mungkin mengehadkan peningkatan pasaran tempatan minggu depan, dengan pelabur serantau kini memantau rapat perkembangan rundingan dagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

“Wujud juga kebimbangan baharu dalam kalangan pelabur selepas Presiden AS Donald Trump membatalkan sidang kemuncaknya dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia kebanyakannya ditutup lebih rendah susulan momentum tekanan jualan berterusan saham wajaran tinggi terpilih, serta kaunter yang banyak bergantung kepada keadaan semasa.

Presiden Donald Trump membatalkan sidang kemuncak bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un,” katanya.

Bursa Malaysia memulakan dagangan hari pertama minggu ini bercampur-campur, sebelum mula merosot dari Selasa hingga Khamis, selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan bahawa hutang negara telah melebihi RM1 trilion atau 65 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.

Pada asas Jumaat-Jumaat, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI turun 57.10 mata lebih rendah kepada 1,797.40 daripada 1,854.5.

Indeks FBM Emas turun 322.44 mata kepada 12,540.78, Indeks FBMT100 susut 314.68 mata kepada 12,348.68, FBM 70 susut 111.75 mata kepada 14,840.62 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 337.34 mata kepada 12,608.30.

FBM Ace merosot 195.49 mata kepada 5,189.61.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan turun 448.73 mata kepada 17,879.56, Indeks Perindustrian turun 90.48 mata kepada 3,213.41 dan Indeks Perladangan berkurangan 78.13 mata kepada 7,844.11.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 12.90 bilion unit bernilai RM15.95 bilion daripada 20.14 bilion unit bernilai RM21.61 bilion.

Jumlah dagangan di pasaran utama menyusut kepada 8.17 bilion saham bernilai RM15.19 bilion daripada 13.97 bilion saham bernilai RM20.6 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 3.07 bilion unit bernilai RM519.62 juta berbanding 3.67 bilion unit bernilai RM523.83 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.55 bilion saham bernilai RM233.17 juta daripada 2.46 bilion saham bernilai RM472.54 juta sebelumnya.

SUMBER: BERNAMA