OLEH NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 6 MEI: Walaupun merupakan calon baru di DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau komited menawarkan khidmatnya menerusi tiga teras utama dengan tujuh keutamaan di DUN itu.
Beliau berkata, antara teras terbabit adalah kemudahan infrastruktur yang terbaik, keselamatan dan kepolisian dan persekitaran yang lebih baik.
Katanya, ia membabitkan aliran trafik dan aksesibiliti merangkumi kesesakan lalu lintas di Kota Kemuning sejak beberapa tahun lalu.
“Jambatan baru akan dibina untuk menghubungkan Kota Kemuning dengan Putra Heights yang membolehkan akses langsung ke stesen LRT dan kesesakan KESAS di keluar HICOM juga akan dikurangkan.
“Di samping itu, pihaknya akan melaksanakan projek susur masuk dan keluar dari Kota Kemuning ke Puchong, selain penambahan lampu jalan di kawasan hotspot dan menyelenggaran laluan penjalan kaki dan basikal.
“Projek mitigasi banjir di Sri Muda dan Kota Kemuning melalui penyelenggaraan saliran akan dilaksanakan dalam lima tahun akan datang,” katanya kepada SelangorKini.
Ganabatirau yang merupakan Exco Kerajaan Prihatin, Kemiskinan dan Pekerja Ladang turut merancang untuk menaiktaraf pondok polis kepada Balai Polis supaya keberkesanaan penguatkuasaan di kawasan itu diperkasa.
“Saya juga percaya, komuniti sihat membawa kehidupan bahagia. Justeru, bagi menyokong gaya hidup aktif, penyelenggaraan dewan komuniti, kompleks sukan dan kemudahan sedia ada seperti gelanggang futsal, bola keranjang, bola tampar, sepak takraw akan dinaiktaraf,” katanya.
Pada masa sama, beliau mahu Tasik Kota Kemuning menjadi kawasan rekreasi terbaik menerusi aktiviti sukan air seperti kayak dan bot.
“Saya juga mahu beberapa pangsapuri dicat semula dan beberapa kemudahan di naiktaraf.
“Saya mengakui bahawa saya tidak berada di sini cukup lama sebelum pilihan raya ini, tetapi saya melakukan yang terbaik dalam masa yang terhad ini untuk bertemu dengan pemastautin dalam lingkungan N50 dan mendengar semua kebimbangan mereka.
“Oleh itu, saya memberi jaminan bahawa manifesto ini adalah yang kita akan laksanakan. Ia didorong oleh input daripada pasukan saya,” katanya.
=EZY=