Categories
SELANGOR

Calon Hulu Kelang kongsi tips pilih wakil rakyat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 7 MEI : Calon N18 Hulu Kelang, Saari Sungib berkongsi tips memilih pemimpin terbaik yang mampu menjadi wakil rakyat kepada masyarakat, di kawasan itu.

Beliau berkata, prinsip utama yang perlu dinilai setiap pengundi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini mesti individu yang adil dan bersikap amanah.

“Syarat utamanya berkebolehan, amanah dan mempunyai kekuatan untuk memimpin serta mentadbir.

“Selain itu, pemimpin itu boleh diberi kepercayaan, tidak mengamalkan rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa serta sentiasa adil dalam semua tindakan juga keadaan.

“Keadilan itu meliputi semua golongan tidak mengira kedudukan, agama atau bangsa,” katanya.

Selain itu katanya, pemimpin yang baik juga perlu terbuka mengambil kira pandangan rakyat dalam membuat keputusan dan tindakan.

“Jadi, buatlah pilihan bijak dan selamat mengundi,” katanya.

Saari Sungip adalah penyandang kerusi DUN Hulu Kelang, pada pilihan raya lalu.

PRU14 menyaksikan ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PAKATAN) itu berdepan dua calon lain.

Mereka adalah Ismail Ahmad (Barisan Nasional) dan Kamalulhysham Mohd Suhut (PAS).

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali optimis kerusi berkenaan kekal di bawah PAKATAN kerana prestasi terbaik Saari di kawasan itu.

Untuk rekod, seramai 49,816 pengundi berdaftar di DUN berkenaan yang menyaksikan pecahan tiga kaum utama iaitu, – 83% Melayu (41,347) 14% Cina (6,974) dan 3% India (1,494).