OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 2 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyeru rakyat memilih parti yang mempunyai potensi membentuk kerajaan baru yang boleh memenuhi aspirasi rakyat.
Mohamed Azmin berkata, menjadi satu kerugian besar jika rakyat terus menyokong Barisan Nasional (BN) yang terpalit dengan pelbagai masalah kepimpinan.
“Saya nak bagi tahu Najib dan calon-calon Barisan Nasional (BN) termasuk parti bersengkokol dengannya ‘enough is enough’, cukuplah zaman kamu akan direhatkan, pada 10 Mei ini.
“Sebab kita akan membentuk sebuah kerajaan baru yang berkebajikan dan boleh memenuhi aspirasi rakyat.
“Saya tidak ada dendam kesumat dengna ahli umno, saya juga tidak bermusuh dengan PAS tetapi saya berdiri di sini untuk memilih kerajaan bukan memilih penceramah atau pun kawan,” katanya ketika Ceramah Mega Pakatan Harapan di Seksyen 23, malam tadi.
Difahamkan itu adalah ceramah kesembilan beliau selepas penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 28 April lalu.
“Saya bersedia untuk tinggalkan sekejap Gombak dan Bukit Antarabangsa kerana ingin bersama pimpinan tertinggi PAKATAN di kawasan lain untuk memberikan sokongan padu kepada calon kita di Parlimen Shah Alam, khalid Samad, Batu Tiga, Rodziah Ismail dan Kota Anggerik, Najwan Halimi.
“Waktu ini adalah untuk kita membuat keputusan tepat. 9 Mei ini bukan sahaja kita nak kekalkan Selangor tetapi kita nak maju sampai Putrajaya bagi selamatkan negara dan ekonomi Malaysia,” katanya.