Categories
SELANGOR

Dihantui lori hantu, pihak berkuasa diminta bertindak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 23 MEI: Penduduk Sri Gombak Fasa 9 membantah kemasukan lori hantu di kawasan penempatan itu yang didakwa mengancam keselamatan penduduk tempatan.

Rungutan terhadap masalah berkenaan dinyatakan penduduk setempat, menerusi laman media sosial Facebook Taman Sri Gombak.

Antaranya, Kylie Ng yang memohon tindakan segera pihak berkuasa berkenaan, menyelesaikan masalah berkenaan.

“Mohon pihak berwajib mengambil tindakan lanjut. Ini masalah yang sangat serius dan membimbangkan. Penduduk terpaksa bergelut dengan permasalahan ini setiap hari,” tulisnya.

Sementara itu, Syifa Dasuki berkata, selain aspek keselamatan, isu kesihatan penduduk juga turut terjejas.

Beliau turut memuat naik sekeping gambar keadaan kekotoran keretanya apabila melalui jalan laluan utama lori hantu berkenaan.

SelangorKini difahamkan, berlaku juga aktiviti pembakaran terbuka membabitkan pengusaha lori-lori haram berkenaan.

Mengulas masalah itu, Famin Abdul Rashid berkata persekitaran dan aktiviti rutin harian penduduk turut terjejas akibat aktiviti haram itu.

“Hari-hari keluar rumah siang malam, baru asap sampah sarap. Sebagai penduduk Sri Gombak, saya membantah kerja keji ini.

“Saya mengalami batuk-batuk akibat terhidu bau asap pembakaran ini,” katanya.

Sementara itu, SelangorKini turut menerima maklumat butiran lanjut laporan polis yang dibuat penduduk.

Difahamkan, laporan dibuat susulan berlakunya kemalangan jiwa yang didakwa berpunca daripada kemasukan lori-lori berkenaan.

Dalam kejadian berkenaan, sebuah lori hilang kawalan dan melanggar sebuah kereta yang menyebabkan seorang penumpang terkorban.

Susulan kejadian itu, SelangorKini sedang mendapatkan maklum balas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hilman Idham untuk tindakan lanjut.