OLEH ZAREEF MUZAMMIL
HULU KELANG, 6 MEI: Penyertaan secara kolektif masyarakat jelas menunjukkan rakyat optimis dengan kemampuan PAKATAN untuk menerajui kepimpinan negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PAKATAN bukan sahaja dibarisi pimpinan yang berwibawa, malah turut mampu memperkenalkan dan mengangkat dasar peduli rakyat.
“Walaupun Lembah Keramat (AU5C) antara benteng kuat Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu, namun kita telah berjaya menembusi kubu itu sejak 2008.
“Alhamdulillah, saya gembira kerana mereka masih lagi bersama PAKATAN sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.
Sebelum itu, Mohamed Azmin Ali meluangkan masa hampir setengah jam melawat pasar tani di Flat Dato’ Ahmad Razali, di sini, pagi ini.
Beliau yang tiba bersama rombongan kira-kira jam 7.30 pagi, disambut calon Pakatan Harapan (PAKATAN) P.99 Ampang, Zuraida Kamaruddin dan penduduk setempat.
Ketibaan Mohamed Azmin di lokasi turut disapa pengunjung pasar tani dan rata- rata agak terkejut menerima kunjungan beliau yang kelihatan bersahaja menyapa mereka.
Tidak kurang juga, ramai antara penduduk setempat mengambil peluang bergambar bersama beliau.
Selain bertemu mata dan beramah mesra, beliau juga singgah di hampir setiap gerai untuk menyantuni peniaga yang berada di sekitar kawasan berkenaan.
Beliau dan rombongan kemudiannya melawat seorang warga emas yang dipercayai terlantar sakit tua. Beliau sempat bertanya khabar warga emas terbabit tentang keperluan ubat-ubatan yang diterimanya.
Sejurus selepas itu, beliau menuju ke Pekan Kuala Ampang untuk santai pagi dan menyelami perkhabaran masyarakat Cina.
Peluang bersemuka bersama Menteri Besar juga dimanfaatkan peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Cina.
Setelah itu, beliau menyertai ratusan warga AU5C bersarapan di Dataran Lembah Keramat