Categories
SELANGOR

DYMM Sultan perkenan sumbang zakat RM27,200

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyerahkan sumbangan zakat RM27,200 kepada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin UiTM, di sini, semalam.

Seramai 57 penerima sumbangan zakat tersebut terdiri daripada golongan asnaf mualaf, fisabilillah, miskin dan fakir.

Daripada jumlah itu, RM400 hingga RM900 diberikan kepada setiap seorang yang terdiri daripada 33 asnaf fakir, 11 asnaf miskin, 11 asnaf fisabilillah dan 2 asnaf mualaf.

Selain itu, baginda turut berkenan menghadiri majlis bacaan yasin, berbuka puasa sebelum menyempurnakan solat tarawih di masjid berkenaan.

Turut berangkat mengiringi baginda, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin.

Baginda tiba di perkarangan masjid pada jam 6.30 petang.

Seusai berbuka, baginda kemudian berkenan menunaikan solat Maghrib, solat Isyak dan solat Tarawih bersama kira-kira 1,400 jemaah yang lain.

Majlis bacaan yasin dan solat dipimpin imam masjid, Ustaz Mohd Faizan Tajuid.