Categories
NASIONAL

E-sukan di Malaysia wajar diberi perhatian

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 18 MEI: ‘Gamers’ atau pemain E-sukan perlu diberi perhatian kerana kebanyakkan golongan ini khususnya anak muda berumur 25 tahun ke bawah paling ramai meminati permainan dalam talian.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rakyat Malaysia harus menyokong dan percaya dengan golongan muda ini kerana mereka mempunyai potensi besar dalam industri itu.

“Mungkin ada pihak akan kata kenapa mahu bantu pemain E-sukan sedangkan mereka hanya duduk atas kerusi tidak membuat apa-apa.

“Tetapi, sukan berevolusi dan kita perlu pandang ke hadapan. Kita sudah masuk fasa yang baharu dan ia melibatkan E-Sukan,” katanya dipetik Astro Awani.

Beliau berkata, langkah ini sudah tersenarai dalam manifesto anak muda, iaitu membina stadium E-sukan dengan infrastruktur lengkap bagi membantu anak muda yang berpotensi memajukan diri dalam bidang itu.

“Jika pemain mahu mewakili negara ke peringkat antarabangsa, latihan dan infrastruktur perlu disediakan untuk mereka.

“Elaun pun dipastikan cukup supaya mereka dapat sara hidup dan dapat membanggakan Malaysia di peringkat dunia.” katanya.

E-sukan dilihat sebagai satu landasan yang dapat memperkukuhkan semangat perpaduan golongan anak muda yang berbilang masyarakat dan agama di negara ini.