Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Festival Cinemini beri peluang mahasiswa berkarya

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Festival Cinemini 2018 anjuran Universiti Selangor (UNISEL) memberi peluang kepada mahasiswa berkarya di samping menonjolkan bakat terpendam.

Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Prof Dato’ Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa berkata, cinemini merupakan gabungan perkataan ‘cinema’ dan ‘mini’ yang membawa maksud wayang kecil.

“Tujuan sebenar Festival Cinemini diadakan untuk meraikan ‘karya berproduksi kecil’ tetapi berjiwa besar hasil kreativiti mahasiswa Jabatan Seni Visual atau sebelum ini dikenali Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), UNISEL.

“Festival ini bertepatan dengan aspirasi untuk meningkatkan ilmu pengetahuan selain melahirkan mahasiswa erlang dan berkerjaya,” katanya ketika berucap merasmikan festival berkenaan.

Mohamed Najib berkata, tema ‘Ubah’ dipilih pada festival kali kedua ini kerana ia bersifat intelektual dan berpengetahuan sesuai dengan mentaliti mahasiswa UNISEL.

“Tema ‘Ubah’ diangkat kerana hasil karya mengetengahkan isu mengubah atau transformasi diri, perasaan mahupun sesuatu ke arah positif atau negatif mengikut gerak hati.

“Ia menjadi wadah perjuangan bagi pelajar meluahkan idea dan perasaan mereka ke dalam hasil seni yang bukan sahaja indah tetapi bermakna kepada penonton,” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan sebanyak 10 kategori dipertandingkan iaitu Animasi Terbaik; Dokumentari Terbaik; Poster Terbaik; Skrip Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Selain itu, anugerah lain pula adalah Penyunting Terbaik; Pengarah Terbaik; Animator Terbaik; Artis Papan Cerita Terbaik dan Filem Terbaik Keseluruhan.

Pada masa sama, Naib Presiden dan Timbalan Naib Presiden Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri UNISEL, Prof Dr Md Sidin Ahmad Ishak berkata, Jabatan Seni Visual mensasarkan ‘Wayang kecil dari UNISEL’ itu mampu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi sebagai sebuah festival filem terunggul mahasiswa Seni Filem dan Animasi di Asia dalam masa 10 tahun daripada sekarang.

“Selain melahirkan pelajar kreatif, peka, matang dan berfikiran jauh sebagai tenaga kerja ia mampu menjadi tonggak dalam industri kreatif dan kandungan digital.

“Malah, mereka juga akan menjadi pemangkin citra membentuk pemikiran masyarakat pada masa hadapan,” katanya.

=EZY=