Categories
SUKANKINI

Gareth Bale pastikan kejuaraan UCL ke-13 buat Real Madrid

OLEH AFIX REDZUAN

KYIV, 27 MEI: Gareth Bale muncul wira Real Madrid apabila berjaya meledak dua gol bagi membantu pasukannya menewaskan Liverpool 3-1 pada aksi akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Nasional Olimpiyskiy, Kyiv, Ukraine awal pagi tadi.

Tampil sebagai pemain gantian menggantikan Isco pada minit ke-61, perubahan tektikal permainan dilakukan Zinedine Zidane berjaya memerangkap skuad bimbingan Jurgen Klopp.

Aksi babak pertama menyaksikan Liverpool mengasak ke gawang Real Madrid sejurus sepak mula tetapi benteng pertahanan diketuai Serigo Ramos berjaya menyerap asakan.

Peluang terbaik Real Madrid untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-14 tetapi percubaan Cristiano Ronaldo melewati gawang gol.

Selang lapan minit kemudian, giliran Liverpool mencipta peluang menerusi rembatan Trent Alexander-Arnold tetapi Kaylor Navas lebih bersedia menafikan percubaan itu.

Malang buat The Reds selepas setengah jam permainan apabila kehilangan penyerang, Mohamed Salah apabila beliau mengalami kecederaan bahu kiri selepas dikasari Ramos lima minit sebelum itu.

Salah terpaksa dikeluarkan bagi mengelakkan keadaan lebih buruk memandangkan beliau bakal beraksi bersama Mesir dalam Piala Dunia Rusia bulan hadapan dan digantikan dengan Adam Lallana.

Nasib sama turut menimpa Real Madrid apabila kehilangan pertahanan sebelah kanan Dani Carvahal yang mengalami kecederaan hamstring pada minit ke-35 lalu digantikan dengan Nacho.

Kecederaan itu dilihat meranapkan impian beliau untuk terbang ke Rusia bersama pasukan Spain bulan hadapan.

Real Madrid sepatutnya mendahului perlawanan hasil haringan Karim Benzema pada minit ke-42 tetapi dibatalkan kerana offside.

Ronaldo berjaya melepaskan tandukan kencang hantaran Isco dan berjaya ditepis penjaga gol, Loris Karius tetapi cubaan susulan daripada Benzema tidak membawa makna apabila jaringan itu dibatalkan penjaga garisan.

Masuk masa tambahan babak pertama, Nacho dan Benzema melakukan percubaan ke gawang Liverpool tetapi gagal mencipta jaringan bagi kedudukan 0-0 pada babak pertama.

Akhirnya pada minit ke-50 Real Madrid berjaya dihadapan hasil jaringan Karim Benzema.

Berpunca kesilapan Karius yang tergopoh-gapah mahu membaling bola, Benzema yang menghulurkan kaki berjaya menampannya dan terus ke gawang Liverpool bagi kedudukan 1-0z

Kegembiraan Real Madrid tidak bertahan lama apabila empat minit kemudian Sadio Mane menjadikan kedudukan 1-1 buat Liverpool selepas menampan tandukan Dejan Lovren hasil sepakan penjuru James Milner.

Gareth Bale kembali meletakkan Real Madrid 2-1 dihadapan menerusi sepakan gunting kaki kiri yang berjaya menyambut hantaran Marcelo dan terus menerjah gawang Liverpool pada minit ke-64.

Mane hampir mengubah kedudukan pada minit ke-69 namun rembatan kaki kiri beliau singgah ke pintu gol Real Madrid.

Benzema hampir menambah derita Liverpool pada minit ke-81 menerusi satu tampanan deras yang berjaya ditepis Karius.

Karius terus menjadi duri dalam daging Liverpool apabila melepaskan gol ketiga buat Real Madrid hasil percubaan jarak jauh Bale pada minit ke-83 selepas gagal mengawal kemas dan terus menerjah gawang sendiri.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan Real berjaya mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu dan keempat dalam tempoh lima tahun.

Sementara bagi Liverpool, ini merupakan kekalahan final kali ketiga di bawah kendalian Klopp selepas kali terakhir menjulang trofi UCL pada 2005.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League