Categories
SELANGOR

Gelandangan kota terus dibantu

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 25 MEI: Program kolaborasi antara Feeding The Needy (FTN) dan pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menganjurkan program bantuan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengasas FTN, Mimi Liana berkata, program itu merupakan aktiviti mingguan yang dijalankan bersama sukarelawan dari pelajar UiTM yang kini sudah memasuki tahun ke lima.

Katanya, program itu selari dengan objektif penubuhan FTN yang berfungsi menyediakan makanan kepada orang yang tidak mempunyai tempat tinggal atau miskin bandar.

“Kami memberi makanan ini kepada semua gelandangan yang berada disana kerana kami tahu terdapat beberapa kawasan tertentu di KL yang dihuni oleh mereka yang kurang bernasib baik.

“Pada program ini, kami mengedarkan 504 bungkusan makanan sekitar Jalan TAR, Tune Hotel dan Chow Kit, kami juga mendapat sumbangan seperti barangan mandian dari The Body Shop untuk diberikan kepada gelandangan.” katanya menerusi laman sosial Facebook UiTM Litter Saviour.

FTN berharap pada masa akan datang lebih ramai lagi masyarakat prihatin tampil memberi sumbangan untuk golongan yang kurang bernasib baik itu menjalani kehidupan seharian.

Untuk rekod, FTN ini merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan makanan dan minuman kepada gelandangan setiap hari khamis pada setiap minggu.