Categories
SELANGOR

Hulu Selangor: Dua projek siap, tujuh lagi sedang berjalan

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 29 MEI: Pembangunan di Daerah Hulu Selangor semakin giat dijalankan dengan sembilan projek yang dilaksanakan pada tahun ini.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, dua daripada sembilan projek itu sudah disiapkan membabitkan projek menggantikan Jambatan Sungai Selangor, di FT001, Hulu Selangor dan membina dan menyiapkan Kompleks Pertanian di Kalumpang, Hulu Selangor.

“Manakala projek fizikal yang sedang dijalankan di bawah projek pembangunan adalah membina dan menyiapkan Pejabat Veterinar di Kuala Kubu Bharu, projek Pusat Pembangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Serendah dan projek masjid di Rasa, Hulu Selangor” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Fakir, Miskin dan Saudara Kita serta Perasmian Masjid di Masjid Ar-Rahmah di Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini, malam tadi.

Mohd Fauzi berkata, bagi memastikan kemudahan infrastruktur pula, empat projek bernilai RM40.1 juta di bawah projek jalan pula dalam pemantauan rapi pihaknya.

Projek terbabit adalah projek menggantikan Jambatan Sungai Kerling membabitkan kos sebanyak RM6.4 juta, projek menggantikan Jambatan di Sungai Kumbang (RM5 juta), projek menggantikan Jambatan Sungai Chiling (RM4.7 juta) dan projek menggantikan Jambatan Sungai Batang Kali (RM24 juta).