Categories
EKONOMI

JAKEL tawar diskaun sehingga 85% dan kain samping benang

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MEI : Syarikat pemborong kain terkemuka Jakel Trading Sdn Bhd (JAKEL) menawarkan diskaun sehingga 85 peratus kepada semua pelanggan yang datang membeli-belah di premis mereka, menjelang Aidilfitri.

Pengarah Urusan JAKEL Shah Alam, Mohamed Izani Mohamed Jakel berkata, tawaran itu sudah bermula seawal Ramadan dan akan berakhir, sehingga malam raya.

“Semua koleksi produk yang dikeluarkan JAKEL mementingkan elemen utama antaranya pemilihan fabrik berkualiti tinggi, permainan warna bersesuaian dan perincian rekaan secara kemas serta rapi.

“Namun, harga yang ditawarkan kami jauh lebih rendah dan mempunyai pelbagai gabungan kombinasi bagi menyerlahkan lagi personaliti si pemakai supaya kelihatan bergaya serta up to date,” katanya ketika majlis pelancaran JAKEL Barulah Raya, di JAKEL Shah Alam, di sini, semalam.

Mohamed Izani berkata, menariknya, JAKEL mengambil inisiatif dengan berperanan sebagai ‘one stop centre’ untuk memudahkan pelanggan mendapatkan pakaian raya berjenama pelbagai selebriti, di bawah satu bumbung.

“Ini salah satu konsep berbelanja di JAKEL yang pelanggan ingin rasa ketika berbelanja, di sini. Antara jenama barisan selebriti yang boleh didapatkan di sini adalah koleksi Baju Melayu Nabil Ahmad, Kurta Hairul Azreen, kolekasi Schawalara dan pelbagai lagi koleksi selebriti terkemuka tanah air,” katanya.

Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan sesi lelongan jualan ‘Happy Hour’ untuk koleksi pakaian raya daripada barisan selebriti terkemuka kelainan dengan menampilkan kain samping benang.

Malah, JAKEL Shah Alam turut menghangatkan lagi kempen jualan hari raya dengan memberikan 100 baju Melayu percuma kepada pelanggan terawal semalam selain menampilkan koleksi terkini iaitu kain samping benang.

Mohamed Izani berkata, JAKEL sentiasa menampilkan sesuatu yang unik dan memberikan kelainan setiap tahun supaya pelanggan dapat merasai kemeriahan menyambut musim lebaran.

“Sememangnya kain samping amat sinonim bersama baju Melayu kerana melengkapkan penggayaan sang arjuna. Kain samping benang lebih berkonsepkan santai dan mudah untuk digayakan, di samping mengekalkan ciri eksklusif yang hanya boleh didapati, di JAKEL sahaja.

“Memandangkan baju Melayu berkain samping songket adalah sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan, maka JAKEL mengambil inisiatif dengan menampilkan kain samping benang bagi mewarnai musim perayaan yang sentiasa berkait dengan moden klasik dan tradisional,” katanya.

Menariknya, kain samping benang turut didatangkan dengan pelbagai variasi warna yang boleh disuai padankan bersama koleksi baju Melayu.