Categories
SELANGOR

KDEBWM gesa elak pembaziran di bulan Ramadan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 MEI: Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir menggesa orang ramai terutamanya umat Islam elakkan berlakunya pembaziran pada bulan Ramadan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa bersama kakitangan KDEBWM dan warga kerja Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB) yang diadakan di Pusat Konvesyen Shah Alam (SACC), di sini, semalam.

Ramli berkata, tidak dinafikan terdapatnya penambahan longgokan sampah luar biasa pada bulan Ramadan di beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah seliaan mereka.

“Kita memang sudah merancang untuk membersihkan segala sisa sampah di bazar Ramadan di setiap PBT seliaan KDEBWM sebaik selesai sahaja waktu operasi dan ia memang menjadi tugas kami untuk membersihkannya.

“Namun, saya mahu menekankan di sini supaya elakkan pembaziran membuang makanan sana sini, seharusnya kita patut kasihan kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau akui bahawa pembaziran bukan hanya perlu dielakkan ketika bulan Ramadan namun sebagai umat Islam perlunya menghormati bulan mulia itu sekali gus sensitif terhadap masyarakat sekeliling.

“Kita di KDEBWM tetap optimis menjalankan tanggungjawab menyelesaikan tugas demi membersihkan Selangor namun masyarakat turut perlu memberi kerjasama untuk bersama menjaga kebersihan negeri ini,” katanya.

=EZY=