Categories
SASTERA

Kelkatu Dalam Kopi

Oleh Syafiq Ghazali

G

Seekor kelkatu meronta di dalam kopiku. Aku tak jadi menulis dan menumpu perhatian padanya. Aku lihat kepaknya menggeletar dan kakinya tergeliat-geliat untuk beberapa ketika sebelum buat keputusan untuk selamatkannya. Pada saat aku keluarkannya dia sudah pun tak bergerak. Aku letak dia di atas kaver buku notaku dan menanti keajaiban meniup nafas ke dalam tubuhnya. Penantian yang sia-sia.

1.

Aku capai kunci kereta dan memandu ke Pantai Sabak. Jaraknya tak jauh dari rumahku tapi dapat dibilang dengan jari berapa kali aku pernah ke situ.

2.

Malam, Sabak serupa Manhattan di dalam kaca mata Woody Allen. Kabus yang menabiri jalan memberi sentuhan noir kepada pemanduanku. Mujur aku arif dengan jalan ke situ. Bagaimana aku boleh lupa. Jalannya yang lurus-kurang-selekoh dan selalu lengang pada waktu malam pernah menjadi lapangan aku belajar memandu. Waktu itu, aku sudah beroleh lesen, cuma aku masih gentar untuk memandu di sela-sela kenderaan lain. Aku masih ingat pemanduan aku lancar malam itu, langsung tiada kenderaan lain—kecuali ketika aku ingin menyeberangi sebuah jambatan sempit. Ia hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan, tapi ada sebuah Saga juga cuba menyeberangi dari arah setentangku. Keretaku sudah separuh di atas jambatan, dan Saga itu belum pun menyentuhnya. Tapi entah kenapa aku yang memilih untuk mengundurkan kereta. Terketar-ketar, aku masukkan gear undur dan tekan pedal minyak. Sesungguhnya ia kali pertama aku mengundurkan kereta selepas ujian JPJ. Selepas Saga itu menyeberang, pemandunya mengangkat tangan kepadaku. Aku membalas dengan senyuman. Yang aku sembunyikan waktu itu adalah ketakutan yang mengetuk-ngetuk dadaku.

3.

Menyeberanginya sekarang, jambatan itu cuma sebuah struktur yang tidak lagi memberi sebarang kesan emosi kepadaku.

3A.

Aku parkir kereta di batas jalan berturap. Aku melangkah keluar, dan aku satu-satunya manusia di situ. Bulan menyuluh terang dan sangat mesra dengan mataku. Malam ini, ia tak malu berkongsi keceriaannya dengan pantai, dan aku. Apa Tuhan baru selesai membayar gajinya?

5.

Aku jejakkan kaki pada pasir dan benda pertama yang menyambut pandanganku adalah sebuah batu besar hitam berlekuk-lekuk dan berkudis-kudis. Ia terletak di sebelah kanan pantai. Ia satu-satunya batu besar di pantai ini, seperti anak itik hodoh yang tertinggal dan belum menemui ibu kandungnya. Aku selalu takjub melihatnya. Bagaimana ia boleh terbentuk di situ? Dari mana ia datang? Mungkin ia diturunkan syaitan pada suatu malam (kerana malam: segala yang rahsia dilahirkan) untuk pasangan pendosa, kerana aku pernah mendengar bunyi ah-ah-ah berbisik halus dari baliknya satu ketika dahulu.. Di atas batu hitam berkudis-kudis itu juga aku pernah lihat seorang lelaki melancarkan tali jorannya jauh hingga ke tengah laut. Ia pemandangan absurd-tapi-benar pertama yang aku pernah saksikan.

6.

Sejuk. Aku memeluk tubuh.

7.

Aku memandang terus ke pantai. Deru ombak yang menjalari pasir menyelinap ke telingaku. Sesekali ia mendebur kasar seperti pelacur Rendra yang mengerang kuat. Mana hujan Sapardi untuk tenangkannya? Beberapa titis benih ombak terpalit ke tubuh dan mukaku. Mungkin ini hujan Sapardi itu. Tapi kenapa aku tak tenang?

8.

Pantai ini pernah muncul dalam mimpiku. Ia mimpi aku dan rakan sekelas mengambil foto untuk dimasukkan ke dalam majalah sekolah. Siang waktu itu, tapi matahari tenteram. Cahaya orennya memberi tona retro pada paparan kamera. Semua orang berbaris elok, duduk kaku, dan berdiri statik—kecuali aku. Aku tiada dalam foto itu. Kerana satu-satunya pelajar yang tidak memakai songkok, aku diarahkan cikgu untuk menjadi jurukamera. Aku menekan punat kamera dengan memberontak. Kalau cikgu itu boleh bergambar tanpa songkok, kenapa aku tak boleh?

9.

Apiclatos cakap syurga berada di tengah-tengah antara langit dan laut. Aku langsung tak percaya. Di antara langit dan laut, yang ada cuma bilah-bilah petir yang memanah burung camar.

10.

Botol-botol kosong. Aku lihat beberapa botol kosong ditolak-tarik ombak. Antara semua botol itu, salah satunya bertutup gambus dan mengandungi gulungan kertas di dalamnya. Apa isinya? Adakah ia catatan pelayaran Ibnu Battuta? Atau ia peta yang membawa kita kepada permata milik Nyi Roro Kidul? Kalau betul, aku akan mencarinya dan gunakannya untuk menarik orang membaca buku-bukuku.

11.

Kuriositi menolak kakiku untuk dapatkannya. Aku harap ia terisi jawapan kepada semua soalan kehidupan. Belum pun hampirinya, ia ditarik gigi ombak. Aku lihat ia bergolek-golek bersama botol-botol yang lain. Aku berlari mengejarnya. Tapi tak sempat. Ia sudahpun ditelan ke dalam perut pantai (atau laut?).

12.

Di mana batas laut, dan di mana batas pantai? Aku terpandang beberapa urat lumut hijau bergoyang-goyang di dalam air. Aku bayangkan ia menjalar dan tumbuh menjadi Swamp Thing dan mengajar aku tentang alam sekitar. Atau bagaimana mahu menyerah diri kepada alam dan hidup lebih tenang.

13.

Adakah ombak terbentuk dari hembusan nafas Cthulhu yang sedang bermimpi di dasar laut (kerana itu, aku percaya, secara bawah sedarnya orang bercakap secara perlahan bila berada di tepi pantai. Ia mekanisma semula jadi bagi mengelakkan raksasa itu terjaga, menjulang dari perut laut, dan menghamburkan kemarahannya)? Tapi Kota Bharu bukan kota Lovecraft. Ia mungkin mistik tapi kosmiknya jelas. Di kota ini Tuhan boleh dilihat mata kasar. Tak percaya? Jemput datang saksikannya sendiri.

13A.

  1. Othman Kelantan pernah menulis tentangnya, tapi kota ini sebenarnya taman permainan Shahnon Ahmad. Di kota ini ada Srengenge yang tersembunyi hodoh dalam jubah _________, ada Sutan Baginda yang secara menyorok-tapi-seronok memicit-micit punat-punat F, ada ketul-ketul Shit yang dihidu anak muda. Dan ada Ranjau Sepanjang Jalan di hadapan mereka yang bermimpi dan bercita-cita.

15.

Di belakangku, tak menyedarinya waktu datang tadi, ada semacam genangan air yang terbentuk di permukaan pasir. Semacam teluk kecil yang terpisah dari pantai. Apa panggilannya saintifiknya? Ia seperti memori buruk yang dicampak laut kerana tak mahu lagi mendengarnya. Aku melangkah lesu menghampirinya. Aku duduk di sebelahnya dan merasa pasirnya lembap. Lembap yang hangat. Aku celupkan jari telunjuk ke dalam genangan air itu. Memang ia hangat. Kenapa? Adakah ia takungan peluh iblis yang sedang dilibas cemeti neraka?

16.

Soalan. Soalan. Soalan. Soalan. Soalan. Soalan. Mana jawapan? Satu lagi soalan.

17.

Soalan tanpa jawapan adalah puisi. Jawapan tanpa soalan adalah antipuisi. Betul? Parra sudah mati, jadi Goenawan, tolong berikan jawapan. Atau aku perlu hulurkan dulu soalan? Tapi perhatikan: bukankah. Ia. Akan. Jadi. Oksimoron?

18.

Aku memilih untuk tak mahu pulang. Aku berbaring di atas pasir dan buat keputusan untuk berjaga hingga terbit matahari dari horizon. Aku mahu pastikan jika ada malaikat yang menariknya dari perut bumi dan menggantungnya di langit.

19.

Aku terlelap.

20.

Pagi: terjaga: menjadi laut.