Categories
NASIONAL

‘Keluar PAS tidak bererti keluar Islam’

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 MEI: Tindakan calon Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz menyertai Pakatan Harapan (PAKATAN) memberi kesedaran kepada penyokong PAS tiada istilah keluar Islam jika menyokong parti lain selain PAS.

Beliau turut mempersoalkan kesalahan dilakukan hingga didakwa sedemikian hanya kerana memilih untuk bersama PAKATAN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tidak ada anak tidak sayang emak. Tidak ada emak yang tidak sayang anak.

“Apa kesalahan yang saya buat? Cuma yang dimomokkan sekarang adalah apabila kita keluar PAS, bererti kita tukar agama dan keluar dari bahtera Nabi Nuh.

“Sebagai contoh, jika ada seribu orang menyokong PAS, adakah beribu yang lain itu tidak Islam? Nauzubillah, jangan mudah untuk kita menghukum,” katanya.

Beliau turut berpesan supaya tidak membuat perkara yang boleh menyebabkan terputus hubungan persaudaraan kerana perkara itu dilaknat Allah SWT.

“Tular yang menyatakan saya tidak dapat restu bonda itu hanya sementara. Saya masih berjumpa bonda dan adik-beradik lain. Dalam Islam juga diajar adik-beradik patut hormat antara satu sama lain.

“Walaupun adik buat masalah, saya tetap sayangkan adik, begitu juga sebaliknya Islam mengajar seorang adik patut tahu cara menghormati abang dia,” katanya.

Bagaimanapun, Nik Omar tidak mahu isu kekeluargaan diperbesarkan, sebaliknya fokus kepada perubahan negara demi masa depan yang lebih baik.

“Masyarakat perlu tekad, termasuk pengundi Kelantan yang berada di luar untuk balik melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Dulu balik kerana Allahyarham ayahanda ada, maka kali ini diseru balik sebab anak tok guru pula ada, yang penting perlu mengundi untuk negara dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.