Categories
NASIONAL

Kerajaan fokus pembangunan sosio ekonomi negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 28 MEI: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi giat mendapatkan maklum balas dan langkah menyeluruh bagi melaksanakan perancangan pembangunan sosio ekonomi negara.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Putrajaya giat melaksanakan ‘mid term review’ yang akan dibentangkan September ini bagi memastikan perancangan itu dilaksanakan secara efektif.

“Bagaimanapun, EPU dan kementerian menghadapi sedikit masalah kerana pembentukan kerajaan baru, selain wujud persoalan berkenaan format terbaru program berkenaan.

“Saya sudah membawa perkara ini ke jemaah menteri kabinet dan EPU sudah diminta membentangkan laporannya pada September ini,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Kementeriannya juga akan merujuk keberkesanan program pembangunan ekonomi yang dicapai bagi tempoh dua tahun lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

Beliau berkata, ia termasuk keperluan untuk memastikan manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) yang memberi tumpuan terhadap bidang ekonomi dapat dilaksanakan.

“Keperluan ini selaras untuk meletakkan penanda aras baru dan hala tuju yang lebih menyeluruh selaras wawasan dan manifesto PAKATAN,” katanya.