Categories
NASIONAL

Kerajaan pantau peniaga jual harga mahal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 28 MEI: Kerajaan akan melakukan pemantauan berterusan terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan di pasaran, selepas kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diturunkan, pada kadar sifar.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keperluan itu selaras manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) yang meletakkan agenda kebajikan rakyat sebagai komitmen utama pentadbirannya.

“Saya sudah melihat kenyataan dibuat Menteri Pertanian, Sallehudin Ayub dan kenyataan daripada Ketua Pengarah Kastam yang tidak membenarkan harga barangan dinaikkan.

“Saya percaya, kementerian bertangungjawab akan memantau perkara ini menerusi kerjasama Kastam untuk memastikan penguat kuasaan harus ditingkatkan supaya tiada pihak cuba mengambil kesempatan.

“Ini selaras tuntutan Kerajaan PAKATAN mengurangkan masalah bebanan rakyat dan perkara ini perlu dilakukan dalam tempoh 100 hari,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada pemberita pada Program Iftar Perdana bersama rakyat Gombak di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, semalam.

Terdahulu, media melaporkan wujudnya kebimbangan masyarakat terhadap tindakan pengusaha tempatan yang menaikkan kadar barangan di pasaran selepas pemansuhan GST berkuat kuasa, pada 1 Jun ini.

Pada masa sama, turut dilaporkan harga barangan semakin meningkat ketika musim perayaan Aidilfitri.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasi dalam kenyataan menggesa peniaga menurunkan harga barang, selepas pemansuhan GST diumumkan Kerajaan Persekutuan.

“Semua peniaga yang berdaftar GST perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar ini.

“Peniaga dikehendaki menyalurkan penjimatan daripada kadar standard enam peratus kepada kadar sifar (0%) kepada pengguna dalam bentuk hargalebih rendah,” katanya.