Categories
NASIONAL

Kini era kerajaan takut rakyat, bukan rakyat takut kerajaan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 16 MEI: Pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan perubahan mentaliti rakyat, negara ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, hal itu disebabkan kesedaran bahawa kuasa rakyat mampu menumbangkan rejim Barisan Nasional (BN), pada PRU14 lalu.

“Hari ini, sudah tiba era kerajaan takut rakyat bukannya rakyat takut kerajaan lagi,” katanya pada Himpunan Merdeka Rakyat, di Padang Timur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keputusan PRU14 lalu membuktikan tiada mana-mana kerajaan kleptokrasi boleh bertahan selama-lamanya jika ditekan rakyat.

Katanya, kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 bertambah manis apabila Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendapat pengampunan penuh diraja yang membolehkan beliau dibebaskan tanpa syarat.