Categories
NASIONAL

KPDNKK keluar 52 amaran gagal pamer tanda harga

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi amaran kepada 52 peniaga bazar Ramadan, di Selangor kerana kegagalan mempamerkan tanda harga.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Selangor, Azman Adam berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 5,150 gerai di bazar Ramadan sejak hari pertama Ramadan membabitkan 4,620 gerai, di kawasan bandar dan selebihnya di luar bandar.

“Kita memberi peluang kepada mereka kerana kebanyakannya adalah peniaga bermusim atau separuh masa yang menjana pendapatan sampingan.

“Peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga diberi tempoh selama tiga hari sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya ketika menjalankan pemeriksaan harga di bazar Ramadan Stadium Melawati, Seksyen 13, semalam.

Azman berkata, dalam operasi itu, enam surat amaran dikeluarkan kepada peniaga yang gagal meletakkan tanda harga.

Katanya, jika terdapat peniaga yang masih ingkar, pihaknya akan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Dalam operasi sama, seorang peniaga warga Syria antara salah seorang dari enam peniaga yang dikenakan amaran kerana tidak mempamerkan tanda harga.

Azman berkata, pihaknya akan berhubung dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) susulan kebenaran seorang peniaga warga Syria berniaga di tapak bazar itu.