Categories
NASIONAL

KPDNKK kompaun peniaga ‘cekik darah’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 28 MEI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengeluarkan kompaun sejumlah RM180,430 membabitkan 1,194 pelbagai kesalahan penjualan barangan, di pasaran.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, jumlah berkenaan direkodkan bagi tempoh Januari sehingga April lalu.

”Pemeriksaan ke atas 183,395 premis dijalankan membabitkan nilai rampasan RM882,192 bagi tempoh sama, awal tahun ini.

“Kami ingin mengingatkan KPDNKK mengambil pendirian tegas terhadap mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Tindakan ini dibuat bagi mengawal pengambilan untung secara tidak munasabah oleh peniaga atau orang tengah di pasaran kini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPNKK, pagi ini.

Mohd Roslan berkata, pihaknya juga akan menguat kuasakan Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 bagi mewajibkan peniaga meletak tanga harga ke atas barangan yang dijual.

“Selain itu, kita akan terus melaksanakan operasi bersama agensi lain yang mempunyai bidang kuasa ke atas aktiviti perniagaan untuk penguat kuasaan lebih berkesan melalui tindakan bersepadu,” katanya.