Categories
NASIONAL

Lagu Patriotik Tun M ‘Keranamu Malaysia’ kembali berkumandang di Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 21 MEI: Ia bersifat ironi apabila lagu patriotik ‘Keranamu Malaysia’ yang sinonim ketika era kegemilangan Tun Dr Mahathir sebelum ini dimainkan semula selepas beliau kembali mentadbir Putrajaya.

Lagu berkenaan dinyanyikan kumpulan koir Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana Putrajaya pada sesi perjumpaan perdana menteri dan penjawat awam JPM, pagi ini.

Untuk rekod, lagu itu tidak dimainkan ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerajui kepimpinan negara, sebelum ini.

Terdahulu, ia adalah pertemuan kali pertama Tun Dr Mahathir dan kakitangan JPM selepas dilantik semula menerajui kepimpinan tertinggi negara.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir yang tiba tepat jam 8.25 pagi disambut tepukan gemuruh lebih 500 kakitangan JPM.

Tun Dr Mahathir dalam ucapannya, menghargai peranan kakitangan awam untuk terus memulihkan imej pentadbiran negara.

Beliau berkata, kerjasama kuat membabitkan semua pentadbir dan kakitangan awam diperlukan bagi meningkatkan imej negara, di mata dunia.

“Menjadi tugas kita untuk pulihkan imej negara supaya ia dipandang tinggi, di seluruh dunia.

“Saya amat kecewa kerana pentadbiran ini dulu yang terbaik, dalam komanwel. Tetapi hari ini, kita tidak lagi dihormati.

“Justeru, menjadi tugas kita semua untuk pulihkan keadaan ini supaya negara akan ditabir dengan baik dan dikenali sebagai sebuah negara membangun,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, imej negara berada pada tahap terendah apabila terus mendapat liputan meluas media antarabangsa berkaitan skandal kewangan, 1Malaysia Development Berhad.