Categories
SUKANKINI

Latihan sebelah malam tak jejas persiapan PKNS FC

 

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Kehadiran Ramadan tidak menggangu perjalanan sesi latihan PKNS FC apabila ia dilangsungkan pada sebelah malam.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, masa latihan bermula 9.30 malam seperti yang dilangsungkan sebelum ini menuntut setiap pemain sentiasa cergas memandangkan mereka akan beraksi dalam lima perlawanan sepanjang Ramadan.

“Aksi pertama kita pada Ramadan ini bertemu Melaka United di gelanggang lawan pada 23 Mei diikuti pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) di gelanggang sendiri.

“Kita akan memberikan tumpuan untuk memperbaiki mutu persembahan pasukan untuk mengutip mata dan mengejar kelompok atas,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, semua pemain Red Ants bebas daripada sebarang kecederaan, namun persembahan beberapa pemain utama dilihat sedikit merosot dan memerlukan perhatian.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Melaka United, Mahfizul mengingatkan pemain supaya tidak leka kerana pasukan kendalian bekas jurulatih PKNS FC, E Elavarasan itu mempunyai suntikan baru menerusi kehadiran bekas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat selain berjaya mengikat Perak seri tanpa jaringan untuk meraih satu mata berharga.